Sabtu, 30 Julai 2011

Puasa beri kekuatan dalaman

Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis sebagai
senjata orang Islam dan pada ketika yang lain
diibaratkan sebagai otak dari ibadat. Orang yang
berpuasa seharusnya membanyakkan berdoa kepada Allah.
Doa memberi pengharapan dan menambah keyakinan seorang
hamba terhadap penciptanya. Doa juga menyedarkan
manusia betapa kerdil dan lemah manusia terhadap
perancangan Allah.

Walau apa pun yang dirancang manusia ditangan Allah
jua kuasa penentunya. Usaha manusia tidak akan dapat
mengatasi qadak dan qadar Allah.

Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa
hinggakan disebut dalam satu hadis bahawa mereka
termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan
ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3
orang yang tidak akan ditolak doanya ialah pemerintah
yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan
orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di
sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan
menyebabkan
manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat
kepada Allah doanya mudah diperkenankan.

Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja
akan akur pada ketentuan Allah tetapi berkeyakinan
bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang
telah ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk
dirinya.

Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
''Apabila hambaKu bertanya tentang Aku katakan (wahai
Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa
orang yang meminta kepada Ku.''

Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti
akan
dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan
mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang
yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara
Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia.
Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia
berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah
memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.

Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk
orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah
kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa
adalah antara manusia dengan Allah.
Jika kita makan atau minum dengan diam-diam mungkin
tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu.
Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri
sendiri dan kepada Allah.
Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita
bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita.
Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t.
sendiri yang akan membatas pahala orang
yang berpuasa.

Ketahanan badan yang diperoleh melalui latihan
berlapar dalam puasa juga menghasilkan ketahanan
mental dan rohani. Melalui puasa dapatlah kita fahami
bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh bekerja
bukanlah kerana makan saja tetapi kerana
keyakinan dan iman kepada Allah akan menjadi nadi
penggerak kepadanya.

Ini terbukti dalam sejarah peperangan Badar yang
berlaku dalam bulan Ramadan ketika pertama kali orang
Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan seorang sahabat
boleh bertambah menjadi kepada tenaga kekuatan dua
puluh orang hanya kerana keimanan yang jitu pada
Allah. Walaupun mereka sedang berpuasa musuh
yang kenyang akhirnya tewas ditangan orang Islam yang
lapar dan sedikit jumlahnya.

Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan dalam diri
orang Islam. Dengan itu mereka dianjurkan meneruskan
puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal supaya
kekuatan rohani ini berkesinambungan.

Bahkan untuk menjamin kesan kerohanian ini lebih
dirasai dan berterusan, dari sebelum Ramadan orang
Islam sudah mula berjinak-jinak dan berlatih melalui
puasa Rejab dan Syaaban.

Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam bulan lain.
Ia penuh keberkatan, kedatangannya dialu-alukan dan
pemergiannya ditangisi. Jika manusia tahu apa yang
terkandung daripada keberkatannya mereka akan memohon
supaya Ramadan itu sepanjang tahun. Sayang sedikit
bagi kebanyakan kita penekanan persediaan Ramadan
ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui untuk
meraikan raya. Persiapan untuk raya melebihi daripada
persiapan untuk puasa., Seharusnya kita bersiap untuk
puasa bersedia meningkatkan kekuatan dalaman.

Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya
membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat
kebajikan dan menambah ibadat.

Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan
sanggup
sama-sama berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling
tidak pun mereka terpanggil ke masjid untuk menikmati
juadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang
disedekahkan oleh orang ramai.

Faktor pembangunan kekuatan manusia sebenarnya adalah
terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani
dan jasmani.
Semua kekuatan ini dapat dibina melalui puasa. Akal
menjadi kuat dengan pembacaan al-Quran. Rohani dan
jiwa pula kental dengan zikir dan istighfar. Fizikal
badan pula mendapat ketahanan melalui puasa.

Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat yang
lain.
Kesannya tidak terlibat secara zahir. Ia lebih
merupakan amalan dalaman yang tersirat dalam diri
seseorang. Ia berupaya
memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan insan.


Oleh: DR. MASHITAH IBRAHIM

Tiada ulasan: